Thursday, June 27, 2013

Perbuatan Annoying Dalam Majlis Ilmu (Kuliah Agama)

PERHATIAN :

KALAU RASA TAKUT DERAAN EMOSI JIKA TERASA, JANGAN BACA.
KALAU RASA NAK BACA, BACA DENGAN KEPANDAIAN DAN KESUDIAN MENJADI PANDAI YANG MAKSIMA.

Ya, aku tahu aku bukan manusia yang sentiasa ke kuliah-kuliah agama. Tapi sekurang-kurangnya aku ada pergi dan aku tahu kepentingan untuk menghadiri, malah aku dapat rasa kemanisan berada di majlis ilmu.

Tapi aku selalu terdetik dalam hati, rasa tak puas hati dengan sikap segelintir orang-orang kita, (dalam hal ini, aku fokus kepada orang-orang Islam, Melayu) yang ke majlis-majlis ilmu tapi buat perangai macam pergi majlis hari jadi. Mana adab mereka ya? Lagi aku terkilan, bila mereka adalah golongan si berkopiah dan si bertudung labuh (Kalau tak berkaitan, tak payah nak terasa).

Sekiranya menghadiri majlis ilmu atau kuliah-kuliah agama ;

1- Aku tahu, kita suka datang lambat. SUKA! Dah tahu datang lambat, tak payah lah nak bagi salam, "ASSALAMMU'ALAIKUM..!" sampai terhenti kuliah ustaz tu, sampai ada yang ustaz tu pun lupa dia nak cakap apa. Korang mengganggu ustaz @ustazah tu, tahu tak? Korang mengganggu hadirin yang dah sampai awal daripada korang. Kan boleh saja masuk perlahan-lahan, diam-diam.

2- Aku tahu, korang suka duduk tempat sedepan-depan yang boleh. Janganlah tamak sampai korang tak nak orang lain duduk depan juga bersama-sama korang dengan letak beg tangan atau fail korang di tempat duduk sebelah korang. Sampai bila ada orang datang kemudian terpaksa duduk belakang padahal sebelah korang kosong je.

Disebabkan budaya ini, kadang-kadang orang yang baru sampai akan perlu tanya "ada orang ke tak ya kat kerusi ni?". Kalau kuliah dah mula, dah la bising, kawan tu pun berdiri lama di depan. Mengganggu tau tak, mengganggu. Kalau dah nampak orang masuk tu, terus lah angkat beg tangan mahal korang tu, kosongkan. Kawan tu nak duduk ke tak, lain cerita. Sekurang-kurangnya tindakan korang dah MENGAJAK orang duduk depan sekali. Tak untung pun kalau korang TAMAK dan PENTINGKAN DIRI SENDIRI.

3- Aku faham, korang faham cepat daripada aku dalam satu-satu perkara. Bila faham, tak perlu nak tambah ulasan ustaz tu kepada orang sebelah korang. Contoh, Ustaz cakap sistem pendidikan sekarang tak Islamik (CONTOH), korang tak perlu lah cakap kat orang sebelah, "Ha ah, betul, kalau kita tengok anak-anak kita sekarang blah blah blah..." Korang jangan bising boleh tak? Kalau nak, ajak orang tu minum lepas kuliah lah, sambung cerita.

4- Aku faham, korang semangat ingin tahu tinggi. Kalau tak tahu dan tak faham, angkat tangan, terus tanya. Jangan nak kacau orang sebelah kanan, sebelah kiri untuk keciciran dan kekeliruan korang. Eh, orang faham lah, orang tak akan rasa soalan korang tu mengganggu sebab korang cuit-cuit orang kiri kanan (TANPA RELA MEREKA) tu lagi mengganggu.

5- Aku tahu, korang dah kahwin, korang dah ada anak. Aku belum diberikan rezeki bernama suami apatah lagi anak-anak. Aku tahu, korang emak atau ayah yang baik, nak didik anak-anak ke majlis ilmu, apatah lagi tak ada orang lain nak jaga tapi korang nak ke kuliah-kuliah agama. Dan aku faham, anak korang tu comel, buat bising atau lari panjat sana sini macam mana pun, orang rasa, "alololo!! comelnya!" Satu lagi je yang koarng perlu faham. Korang faham tak maksud mengganggu?

Aku mungkin tak faham, betapa susahnya nak jaga anak, tapi ada je aku tengok orang yang anak dia baik, duduk diam-diam, bila lari-lari, maknya tegur, anak tu pun dengar kata. Eh, korang lagi tahu anak korang lah, jadi korang lebih tahu apa patut buat. Tak tahu, BELAJAR! Yang penting, tolong rasa bersalah.

Jangan fikir korang jauh lebih mulia daripada ibu-ibu yang duduk rumah jaga anak sampai tak dapat ke kuliah agama (dengan hujah, "anak akak ni tak reti duduk diam...") kalau usaha korang ke majlis tersebut sebenarnya tak buat korang dapat menimba banyak ilmu pun (dek anak korang yang aktif), malah MENCURI HAK hadirin lain untuk menimba ilmu dengan mengganggu. Cuba renung-renungkan semula niat korang.

6-Aku tahu aku jahil, banyak tak tahu daripada korang. Banyak benda korang dah faham, dah pernah dengar jadi korang rasa tak nak dengar satu-satu perkara tu dan nak berbual dengan kawan korang pasal sale dekat Jakel. Cuba kalau kau tengah cakap, tiba-tiba orang yang sepatutnya dengar kau pergi palingkan bontot dan cakap dengan orang lain. Apa korang rasa? Bukan saja korang tak hormat yang sedang bercakap (dalam kes ni, Ustaz Ustazah lah), korang juga tak hormat aku yang jahil nak belajar ni dengan mengganggu. Sikap tak hormat korang dengan tak jaga perasaan yang bercakap dan mendengar ni, sama saja dengan mengambil hal orang lain untuk didengar dan mendengar. MENGAMBIL HAK ORANG LAIN TANPA RELA ITU ZALIM!

7- Aku bangga berada dalam kuliah agama atau majlis ilmu yang terdiri daripada hadirin yang ramah dan saling kenal-mengenali. Sampai boleh dengar ;

"Eh, Siti, ada jugak? Datang dengan siapa? Suami? Mana suami?"
"Kak, nasib baik akak datang, boleh saya bagi borang unit trust haritu. Majlis baik macam ni yang temukan kita ya kak, alhamdulillah..."
"Amboi, jubah baru nampak, beli kat website yang saya beritahu haritu ya?"
"Alhamdulillah, dah pakai stokin awak..."

Haaa.. 'mesra' sangat. Peka dengan kawan-kawan. Boleh buat, kalau kita buat masa waktu senggang, sebelum Ustaz bercakap, masa rehat, atau dah habis Ustaz bercakaplah. Tak payah nak buat sesi salam selamat hari raya sangat semasa Ustaz tengah bercakap, boleh?

*Tak payah nak pesan, "Ain, matlamat tak menghalalkan cara" kat aku dalam kes ni kalau ada kekasaran bahasa atau stretotaip dikesan. Sebab aku dah muak dengan cara korang (siapa makan cili dia rasa pedas) yang tak tuju matlamat pun.

SEKIAN

Tuesday, June 25, 2013

Soul Fusion, ISSHO & You and Me ; Mantapkan Jiwa

"Saya sukarelawan sepenuh masa", seorang kakak memperkenalkan diri. Dalam hati aku, "Peeerrggghh....!!!! Sukarelawan macam mana ya.. tak apa, nanti tanya... " Sampai ke sekarang tak berpeluang bertanyakan cerita-cerita kerja sukarela yang dibuat. Rugi, rugi, aku memang rugi.

Kenapa aku rasa rugi? Bagi aku, bila kita buat kerja sukarela ni, banyak yang kita belajar. Bukan kita lebih berkhidmat pada masyarakat tapi masyarakat yang memberi khidmat kepada kita. Lebih menerima daripada memberi kadang-kadang. Sekurang-kurangnya, kepada aku. Aku fikir aku tolong gembirakan orang, tapi aku yang gembira kerana nampak orang ketawa. Aku fikir aku memberi orang harapan, tapi aku yang tambah harapan bila syukur jadi modal. Aku fikir aku nak kuatkan jiwa orang, tapi aku yang termantap jiwa.

Aku kongsikan 3 program khidmat masyarakat yang pernah aku sertai, saja kongsi tulisan lama (",) ;

Kisah 1 : Program di sekolah adik-adik yang cacat penglihatan.

Pada 2007, aku ke Sek. Keb. Pendidikan Khas Princess Elizabeth, JB, untuk mengemukakan cadangan program khidmat masyarakat di situ. Juga cuba memahami penghuninya untuk tujuan merangka modul dan aktiviti. Lawatan-lawatan awal itu pun sudah amat bermakna bagi aku, yang bernama Nor Ain (bermaksud cahaya, mata). Baca cerita penuh di sini.


Kisah 2 : Program di rumah untuk orang-orang kurang upaya. 

Lawatan pertama hanya sekadar urusan di dewan rumah perlindungan tersebut yang di sewa untuk satu bengkel kelab pengucapan awam (Toastmasters International). Namun hati terdetik untuk buat lebih daripada sekadar menggunakan dewannya. Rasa seronok melawat sehingga sekarang, apabila penghuni masih kenal aku dan ada yang berlari semata-mata nak peluk aku. Comel! Baca cerita penuh di sini.

Kisah 3 : Program di rumah anak-anak yatim Islam.

Sekadar mengiringi pengelola dan peserta program khidmat masyarakat di rumah tersebut, tanpa peranan yang tetap. Namun aku tetap tersentuh. Mereka terlalu istimewa. Baca cerita penuh di sini.

Benarlah, tak ada yang kurang jika kita memberi.

Monday, June 24, 2013

Lahirnya Bakal Novelis Cantik

Aku anak kampung. Kalau berbual dengan nenek aku sebut tentang KL, kami sebut, Kolumpor okay, bukan KL atau Kuala Lumpur. Betapa kampungnya, aku teruja ke TBS semalam, untuk pertama kali. Kuikuikui... TBS, BTS, tunggang terbalik aku sebut. Terminas Bas Bersepadu, eh ye ke? Memang sampai-sampai je, "wah... macam airport!", kata aku.

Dalam pukul 5.40 petang, lepas beli tiket bas balik ke JB, aku cakap kat kak Awe yang balik naik bas sama-sama, "Kak, saya nak jadi penulis novel..!!! Ahakz!!!" sambil buat muka gedik. Kak Awe tak larat nak layan, rolling eyes.

Lepas makan kat Subway, "Kak, betul ni saya nak tulis novel ni?" Mesti kak Awe rasa nak sepak je.
Naik bas je, sekitar 7 malam, "Kak, macam tak percaya je saya akan tulis novel, kan...". Kak Awe nasib baik tangan dia pegang telefon pintar dia, kalau tak, mau terbang hinggap kat pipi cantik aku ni.

Berbual punya berbual, tertidur. Terbangun sekitar pukul 9 malam, "Kak Awe... saya kena tulis novel la ni ya?", aku masih tak percaya.

********************

Aturan Allah tu sangat unik. Tak tercapai dek akal kadang-kadang. Eh, bukan kadang-kadang tapi sentiasa. Dia Maha Tahu dan sebaik-baik perancang. Dia yang merancang aku tak pasal-pasal pergi ke bengkel penulisan Hilal Asyraf. Duduk depan sekali masa tu, semangat kau! Beratur untuk makan pun depan sekali. Sehinggalah bengkel susulan, bengkel intensif aku kata, 2 hari 1 malam hujung minggu lepas, 22-23 Jun di Shah Alam pun aku pergi. Punyalah semangat, walaupun terpaksa pinjam duit orang untuk pergi. Muahahaha...!!! Saya sayang kawan saya yang bagi pinjam duit itu. Banyak tu.. Huhuhu...

Aku datang tanpa pengetahuan tentang apa itu Galeri Ilmu, pengelola bengkel. Yang aku tahu, ada Hilal Asyraf dan Ustaz Hasrizal. Sekarang aku dah tahu la, Galeri Ilmu tu satu syarikat penerbitan buku, yang tawarkan aku untuk terbitkan novel aku... Haih, betul ke ni aku nak tulis novel ni??? Macam mimpi!

Dua malam sebelum bengkel aku tulis sinopsis novel antara jam 1-3 pagi di... tempat dirahsiakan. Tapi teknik ada dah sikit, berkat tunjuk ajar Hilal. Nak harap ilmu Komponen Sastera sempena SPM 2003 dulu, haruslah dah tak ingat, kan. Dan sinopsis aku tu puas aku jaja ke macam-macam orang. Mau 3 ke 4 orang kawan sumbang idea termasuklah adik perempuan yang aku tumpang rumah sewanya malam sebelum bengkel. Masing-masing nak tambah drama. Terbaik!

Sinopsis novel? Haaa.. syoknya bengkel ni, peserta diminta bawa sinopsis novel untuk dibentang. Terus ada peluang men'jual' cerita anda kepada barisan panel, editor Galeri Ilmu. Selain daripada acara 'penjualan' tersebut, bengkel sarat dengan pengisian. Rasa macam lagi banyak daripada aku pernah belajar masa Komponen Sastera, subjek Bahasa Melayu tahun 2002-2003 dulu. Eh, ke aku yang tak belajar sangat masa dulu? Hehehe... Peserta ada 14 orang sahaja dan itu adalah bonus!!!! Aku senang nak glamor! Hahaha.. Okay, bukan, aku rasa gembira sebab lebih mudah berkomunikasi dengan semua, pengucap dan urusetia sebab kami hanya 14 orang. Dan, aku rasa kami sangat rapat. eerr.. okay, tak nak cerita lebih. Aku hati tisu, karang basah, koyak.

Aku ada satu rahsia. Aku sebenarnya kurang kesederanan yang bengkel tersebut adalah Bengkel Realiti Penulisan Novel Islami bersama Hilal Asyraf. Haaa.. baca balik, ISLAMI. Masak! Slot pertama pukul 9 pagi Sabtu, dalam perbincangan kumpulan menceritakan sinopsis masing-masing, aku dan Kak Rehan ada sebut, "cerita ada, tapi nak Islam kan cerita ni... haaaaa..". Sayang, sinopsis tak pandai mengucap, jadi kami berusahalah meng'Islam'kan cerita kami. Hehehe..

Sepanjang bengkel, slot-slot yang disusun serba serbi lengkap boleh aku kata. Daripada niat menulis, displin, perkongsian barisan penulisan, penggunaan alam siber oleh penulis, pandangan editor, penggunaan bahasa sehinggalah teknik-teknik menulis, semua ada. RM 500 yang dilaburkan tu terasa macam RM 5000. Lebih terharu, malam sebelum perbentangan sinopsis kami di hadapan panel, urusetia (ada editor juga) buat pra pembentangan, dan mereka tolong setolong-tolongnya semua peserta supaya dapat bersedia dengan baik untuk pembentangan yang sebenar, pagi Ahad. Kalau aku lah kerja jadi editor syarikat penerbitan buku, lantak kau lah! Malas nak buat pra pembentangan. Ada banyak lagi proposal novel lain aku boleh baca. Tapi mereka sangat nak membantu. Terharu rasa nak nangis seminggu (over!).

Kemuncak, pagi Ahad para peserta membentang sinopsis masing dalam ucapan selama 5 minit sambil menghadap muka barisan panel dan editor yang menggerunkan. Fahamlah aku perasaan orang yang masuk Malaysian Idol tu. Gegau lutut, berdeghau darah... kata orang Melaka.

Perkara paling besar yang aku tanam dalam hati, niat menulis. Ustaz Hasrizal punya pasal la ni. Dia mulakan dengan tanya semua peserta, kenapa nak menulis. Aku pun reka-reka lah. Tapi bila aku reka, dan aku beritahu orang lain, jadi macam ikrar. Pandai Ustaz Hasrizal ni kan... Sekarang aku cemas dengan ikrar sendiri! Aku semacam dah berikrar bahawa;

"Saya suka merepek. Sehinggalah bila ada beberapa kali dan beberapa kawan sampaikan kepada saya yang mereka ingat apa cakap saya. Mereka buat keputusan kerana apa yang saya cakap. Mereka berfikir tentang apa yang saya cakap. Mereka terpengaruh dengan apa yang saya cakap. Dan suatu hari, saya terbaca di satu blog, tentang lagha, perbuatan yang sia-sia. Jangan buat benda lagha. Dan betapa setiap tindakan kita akan dipersoalkan Pencipta kita di akhirat nanti, hatta sebaris update di status Facebook. Maka, takutnya saya kalau apa yang saya cakap dan tulis itu melalaikan orang lain. Maka, saya nak tulis untuk sampaikan kepada orang lain, tapi bukan dengan sia-sia. Untuk tujuan kebaikan, bekalan di hari kemudian"

Ecewah. Okay, aku dah cantikkan ayat, masa aku cakap mestilah ayat tunggang langgang. Ahakz! Dan, semua peserta berkongsi sebab masing-masing hendak menulis, yang mengukuhkan niat baik di hati ini. Insaf! Pergi bengkel penulisan macam pergi bengkel penyucian hati ;)

Semoga hati kami semua tetap, berusaha menulis kerana amanah. Dan bak moto seorang penulis, 'Doa saya pada Tuhan, jangan ilham ini ditahan' - http://salahtaip.blogspot.com/

Lahirnya bakal novelis cantik. Ya, bakal novelis. Cantik tu dah pasti ;)