Saturday, October 12, 2013

Aku Hairan ; Mereka Cakap Tak Serupa Bikin

Aku hairan.
Mereka kata mereka sibuk.
Tetapi banyak bodoh terzahir daripada bijak.
Tidakkah mereka sibuk berusaha menjadi pandai?

Aku hairan.
Mereka kata mereka dianiaya.
Tetapi banyak menyendiri daripada berbakti.
Tidakkah mereka mencuba meninggikan harga diri?


Aku hairan.
Mereka kata mereka belajar mengaji.
Tetapi berkumur disangka menelan air perigi.
Tidakkah mereka tahu mereka dibenci?

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!  Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."- Surah as-Saf, 61 : 2-3
Aku hairan.
Mereka yang cakap tak serupa bikin masih boleh goyang kaki.


I Love You Papa



“Ain, dia kata, tangan dia senang berpeluh! Sama macam ayah aku!” Aku nampak dia sangat gembira. Hanya kerana tangan bakal suaminya sama mudah berpeluh seperti ayahnya, kawan aku kelihatan teruja.

“Perempuan biasanya nak suami dia macam ayah dia, kan?”, kawan aku menambah.
“Sama lah macam lelaki, nak isteri sesempurna ibu diorang…”
" Nak tangan berpeluh sama-sama juga?", aku sambung, mengusik.
" Entah, rasa macam, comel pulak bila dia ada persamaan dengan ayah aku...


Benar! Aku sangat setuju!

Orang kata, cinta pertama adalah cinta yang paling suci, tiada bandingan, tiada tarikh luput. Itu orang kata. Aku kata, aku setuju! Aku bersyukur, aku mampu tersenyum untuk menulis, ‘cinta ayah aku adalah cinta seorang lelaki terbaik yang pernah aku ada’. Maafkan aku jika tulisan aku ini dibaca oleh kamu yang tidak tersenyum malah berkata dalam hati, “tidak, aku tidak setuju. aku tidak miliki atau bahagia dek cinta seorang ayah”. Aku minta maaf. Percayalah, kamu ada kurniaan lain yang mungkin tiada orang lain didunia ini miliki. 

Berbalik kepada cinta seorang ayah, aku pernah, sedang dan akan terus berpendapat, aku mengidamkan kehidupan bersama seorang suami yang seperti ayah aku. Kerana cinta seperti cinta seorang ayahlah yang diidamkan oleh seseorang perempuan, sekurang-kurangnya, aku.

“Nanti, Ain pergi ke XYZ, tunggu komuter. Naik yang ABC dan berhenti di stesen QRS. Lepas tu naik ABCDE pula untuk berhenti di stesen WWW. Nanti saya ambil Ain di situ,” seorang lelaki pernah mencadangkan kepada aku, bila aku beritahu yang aku hendak melawat sebuah universiti berhampiran tempat kerjanya. Perkara pertama yang terlintas di fikiranku ialah, “Mana aku biasa naik komuter, lompat-lompat macam tu. Kenapa dia tak cakap nak terus ambil aku kat sini? Bukan jauh sangat pun. ” Labellah aku sebagai seorang yang manja atau lemah, aku tak peduli. Itulah suara hati aku pada masa tu. Kalaulah dia faham.

Aku hanya diam, teruskan makan malam, bersama dia, ibu dan ayahku. Tiba-tiba ayah aku menjawab, “Tak apa, besok biar Papa hantar Ain terus ke universiti.” Aku lega. Tapi aku pasti, jawapan Papa seperti satu tamparan buat dia. Bagi aku, jawapan Papa adalah tanda Papalah lelaki yang paling faham aku, yang paling sayang aku. Ya lah, dia kenal aku lebih 20 tahun kot… Dan dia yang corakkan erti kasih sayang seorang lelaki dalam hidup aku. Kan…

Panggillah aku mengada-ngada atau kurang berdikari, tapi itulah cara Papa jaga aku. Aku dengan lelaki itu tiada jodoh, mungkin itulah salah satu sebabnya; kami tidak 'sekufu' dari segi erti ‘ambil berat’. Mungkin cara dia lebih sesuai dengan perempuan lain, bukan aku.

Nak kata Papa manjakan aku dan rosakkan aku? Jangan cakap pasal aku tak mampu berdikarilah kalau tak tahu yang aku merantau merentas benua tanpa keluarga, dengan sedikit kawan malah ada juga berseorangan. Survive je aku, selamat, sihat malah gemuk. Hahaha... Memanjakan dan ambil berat adalah dua perkara yang berbeza (clarification, ehem ehem…).

Aku bersyukur dengan cara ‘gentleman’ yang Papa persembahkan kepada anak-anak perempuannya (adik lelaki aku memang susah dapat layanan lain lah, hehehe…) dan Mama. Bagi aku, itulah contoh kasih seorang lelaki terbaik. Walaupun ada masa hati ini memberontak dengan pendapat dan tindakannya. Macam ingatkan aku itu dan ini, jangan beli itu, jangan percaya ini.. zzzz...

Ya lah, siapa yang suka dirinya dilayan seperti orang lemah dan orang bodoh? Semestinya aku bahagia membantu bila ada orang bergantung harap kepada aku dan semestinya aku senang memberitahu bila ada orang bertanyakan sesuatu yang aku tahu. Bila ada orang layan aku macam akulah manusia yang tak mampu dan tak tahu, kalau tak kena cara, boleh kecil hati. 

“Tahu la, ingat aku ni bodoh sangat ke?”, kalau ada masa nak jerit dari dalam hati.
“Kau tahu, aku tak tahu, kau beritahulah. Tak payah nak buat aku rasa aku loser sangat!”
“Aku boleh buat sendiri lah!”

Tapi, ajaibnya, kasih seorang ayah, biarpun ada masa aku dilayan seperti manusia yang tak pandai nak hidup, tak tahu itu tak tahu ini; pada kebanyakan masa, tidak terusik jati diriku, tidak tercalar maruahku, malah terinspirasi dek ikhlasnya ambil berat, dek sucinya rasa kasih.

*IKLAN : Sebab tu aku sangat sayang dia, sebab dia buat aku rasa berharga biarpun ada masanya dilayan seperti aku lemah dan aku tidak tahu. Miracle. I am inspired to have a better life by receiving his treatment, his love. Maybe because his way just like my father’s? 

Bukan dalam kuasaku untuk mendapatkan suami sehebat Papa, semua tu kerja Dia. Aku hanya mampu berusaha jadi manusia sehebat Mama. Sebab kan perempuan baik untuk lelaki baik. Kita dapat apa yang kita usahakan. Tapi tak ada siapa boleh halang aku mengidam kasih lelaki sehebat kasih Papa, my first love.
Masa aku sakit lepas habis peperiksaan percubaan SPM, aku demam, batuk, muntah. Siapa yang tepuk belakang badan aku untuk legakan batuk aku, kalau bukan Papa? Siapa yang tadah muntah aku masukkan dalam botol dan bawa ke klinik tunjuk kepada doktor, kalau bukan Papa? Siapa yang tolong angkat beg-beg aku banyak-banyak untuk ke airport sebelum dan selepas ke luar negara kalau bukan Papa? Sampailah aku pulang dari luar negara kali ketiga, Papa masih cuba angkat beg aku macam biasa daripada kereta sesampainya kami ke rumah. Dia sukarela.

Tiba-tiba Papa senyum.

“Ain, tolong. Papa ingat Papa kuat, rupa-rupanya Papa tak kuat dah. Dah tua rupa-rupanya aku ni…”

"Pa yang berlagak kuat sangat, siapa suruh..." tu di bibir aku, di hati?

Pa, layanlah Ain bodoh macam mana sekali pun, layan lah Ain lemah macam mana sekali pun, Papa tetap lelaki paling bijaksana Ain pernah jumpa dan lelaki paling kuat Ain pernah ada.