Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Monday, November 30, 2015

Resam Merak Kembang Bulu

Atas kesedaran susah nak cari semula tulisan aku di status Facebook (ke, ada orang tahu cara nak 'search'?), aku rasa aku nak kongsi status-status kesayangan aku di sini, sikit demi sedikit disamping mengkonsistenkan diri untuk menulis (tulis untuk simpan, simpan untuk kongsi, kongsi untuk tulis lagi). Antaranya, puisi yang ala-ala seni dan ada masa ala karte. Nah, ambil satu.

Kau kata merak angkuh dan megah.
Kau fikir merak damba perhatian kau yang murah,
Tapi, jika merak kembang bulu, kau toleh dan senyum.
Jika dia simpan, kau muram kecewa.
Tak cukup hipokrit, kau mengata juga.
Kau kata merak tak terbang, harap cantik saja.
Dah tu, kau boleh terbang? Cantik apa pula yang kau ada?
Merak dicipta begitu, dia syukur dengan bangga.
Resam merak kembang bulu, kau dengki kenapa?
Mari belajar cari beza,
Antara megah dengan yakin,
Antara mengampu dengan memuji,
Cubalah ganti cemburu dengan mengagumi,
Jangan lupa, itu kerja Yang Maha Mencipta.
~Ain Cantik, 18/11/15~

Tuesday, November 20, 2012

Pinggan Kaca Itu

Pinggan kaca kau buat hiasan.
Kacanya biasa, bukan istimewa yang didakwa tahan pecah.
Sekali terhentak, retak menanti belah.
"Kan ada gam" kau kata.
Baiklah, pinggan kaca kembali sempurna.

Datang bencana alam, bukan aku suka, bukan kau minta.
Pinggan kaca terhempas.
Bukan retak atau sumbing, tapi pecah.
"Kan boleh gam" kau kata.
Baiklah, pinggan kaca masih nampak sempurna.

Berlari anak kecil, tangan hayun kanan dan kiri.
Pinggan kaca ditepis, pecah lagi.
Anak kecil menangis, tak mampu kau salahkan.
Asalnya di atas meja buat hiasan, pinggan kaca kini kau kumpul dengan penyapu.
Penyapu yang kau guna buat alih sampah dan debu.

"Kan ada gam lagi. Kan boleh gam lagi" kau kata.
Baiklah, gamlah dengan teliti dan halus tangan kau.
Rawatlah dengan lembut dan sabar hati kau.
Tenangkanlah hati aku dengan senyuman ikhlas kau.
Gembirakanlah aku dengan dorongan dan keyakinan kau.

Mari aku beritahu satu permintaan tanpa lagu.
Selepas dua, tiga kali pecah, jangan jentik pinggan kaca itu.
Hatta belai, tak mampu aku restu.
Kerana pecah tujuh boleh jadi retak seribu.
Kau bawa gam lagi, tak guna kalau beku.

Tuto preview


Tuesday, May 1, 2012

Setuju Insan


Kongsikan impian dan kecohkan harapan,
Atau terkubur cita-cita dek kurang sokongan.
Aku tak sudi iyakan.

"Siapa nak A semua?"
Belum sempat mengaku teruja
Sahabat potong, cakap nak lulus sahaja
Aku diam mahu sekepala

"Ada yang mahu A lapan?"
Mahu sama-sama angkat tangan berteman
Tapi cikgu tatap mata aku bukan mata kawan
Orang kata itu tanda dia taruh harapan
Aku anggap dia abai kawan-kawanku punya perasaan
Aku tak angkat tangan, senyum pun tak kuberikan.

Hadiah nobel pernah jadi semangat
Dikongsi muka bahagia tak ingat
Orang dewasa jawab tak sampai lima saat
"Itu milik mereka, bukan mainan kita punya umat"
Air liur ditelan, hasrat disekat.

Maka aku percaya dari zaman ke zaman
Bahawa kongsikan impian dan kecohkan harapan
Bukanlah jalan tapi kesombongan
Mampu buat senyum jadi air mata
Buat cita-cita dipandang dosa.


Aku tak harap engkau iyakan
Aku hidup pun dengan percayanya Tuhan
Bukan atas setuju insan.

~ ayen : 0058 : 010512 ~