Monday, November 12, 2018

Pasak Hati. Bab 1 : Salah Pasak

Pertama kali diterbitan di profil Facebook sendiri Jun lepas. Kalau dah pernah baca, skip saja, tunggu sambungan.... NANTI... (doakan sis cantik istiqamah.. gitu...)

**********************

"Eh, dia yang lelaki. Kita keluarga belah perempuan. Kenapa pula kita yang nak jumpa mak bapak dia dulu?" Nafas Nora terhenti. Kata-kata mati. Jarum saat jam seakan tak bergerak mendengar respon pantas Ayah, meragut rasa terujanya. Suara Ayah tak tinggi, tapi penolakan itu jelas.
"Mak bapak dia lah yang kena jumpa Ayah dan Ibu dulu," sambung Ayah, menolak keras permintaan Nora untuk ke rumah keluarga Haikal. Untuk berkenalan, cadang Haikal.
Rasa teruja Nora sebentar tadi seakan kebahagiaan yang menggabungkan seluruh bahagia dalam dunia. Haaa, punya over teruja. Masakan tidak, lelaki yang sedang diangaukan Nora dilabel Ayah sebagai, 'Bagus, Ayah suka'. Yes! 'Ah, tak mengapa tak mahu ke rumah keluarga Haikal. Sampai masa nanti, tibalah rombongan meminang untuk aku,' Nora mengelamun. Senyum.
"Haikal tak tahu nak cakap dengan Mak macam mana. Kalau Nora atau keluarga Nora bantu cakap, mungkin lagi mudah", Haikal bersuara minggu lepas. Teragak-agak. Takut dan malu.
"Eh, kira macam Nora pulak merisik Haikal ke?" Nora pelik, tapi tersengih mengusik. Nah, orang kalau dah suka, buatlah statement pelik, tak masuk akal tahap langit ke-7 pun, tetap tersengih. Semuanya indah.
"Kalau kita kahwin nanti, Nora kena masak hari-hari ke?" nak sambung sembang punya pasal.
"Eh, mestilah. Kalau tak masak, Haikal keluar rumah, tidur hostel". Nampak macam ugut manja, namun ada nada serius, sepanjang perbualan 'what are you expecting if we get married'. Dalam masa yang sama, mengingatkan kepada sebuah realiti, yang Haikal masih belajar.
"Suka makan mi segera kan kalau tengah malam? I know you love perisa asam laksa!", Nora sambung. "Salah, Haikal suka orang gorengkan nasi di rumah."
Kalaulah Haikal tahu, yang perempuan di hadapan dia tu dah tak kesah kalau kena masak rendang tengah-tengah malam pun untuk suami idamannya tu. "Jadi, Haikal okay tak ni kalau kita kahwin?", Nora tanya terus. Entah dari mana datang keberanian tu. Ke, ketiadaan rasa malu? Ah!
Haikal pandang mata Nora dalam-dalam. Nora yang suka bergurau, malam ni nampak serius. Maknanya selama ni, dia bukan bergurau! Tapi, kerjayanya elok, kewangannya stabil, apalah yang dikejar daripada Haikal yang masih lagi seorang pelajar. Haikal bingung. Nora tersinggung.
"Tak apa Haikal kalau tak nak. Cakap tak nak, tak lah Nora mengharap."
"Nanti Haikal tanya Mak ya"
Selepas tiga bulan, "Nora, Haikal dah tanya Mak, pasal tu."
"Pasal apa?" Nora pura-pura tak faham. Lebih kepada nak pasti.
"Pasal Haikal nak kahwin dengan Nora"
"Oh". Nora berdebar.
"Tak boleh. Mak rupa-rupanya tengah berkenan kat jiran kami, kawan satu sekolah Haikal."
Diam.
"Ni semua salah Ayah! Kalau Ayah setuju untuk kita berkenalan dengan keluarga dia dulu, tentu tak jadi macam ni! Tentu mak dia tak sempat merisik anak jirannya tu!" Nora nak marah Ayah, tapi nasib baik kemarahan tu tak terlafaz, tersimpan dalam hati.
"Nora, kenapa kau nak mamat tu eh?"
"Aku rasa tenang dengan dia"
"Sekarang kau tenang?"
"Sekarang tak lah. Sebab tak dapat dia"
"Kalau orang tu menenangkan, dia sepatutnya menenangkan jiwa kita dalam apa saja keadaan."
Nora tak setuju dengan bebelan Farah, kawan baiknya itu. Farah sambung, "Kau letak hati kau kat mana, kat jantan ke, kat Allah?"
"Wei, agak-agak la kau nak basuh aku pun!"
"Apsal? Sentap? Memang betul kan? Kau mengharap kat mamat tu, lebih tinggi, daripada kau mengharap dan percaya kat Allah. Seolah-olah dia tak ambil kau jadi isteri tu dah terbalikkan dunia kau, sampai kau tak ingat yang dia tak pilih kau tu adalah aturan Allah!"
" Hello, bukan dia tak ambil aku okay. Mak dia! "
"Ah, sama je. Dia boleh defend kau or pujuk mak dia, kan..."
Sunyi. Nora angkat beg tangan, nak pergi dari kafe dengan kopi masih berbaki separuh cawan.
"Nora, kalau kau tak pasak hati kau kat dia kuat sangat, tentu kau tak kecewa teruk macam ni. Yang patut dipasak kuat, Allah, bukan dia. Orang Islam, kalau hati hanya pasak pada Allah, tak kiralah kita hilang apa, kita tak akan sedih. Kau fikirlah balik, kenapa kau sedih."
Salah pasak hati.
Bersambung...

No comments: