Thursday, September 27, 2012

Siapa Kata Duit Tak Boleh Beli Kawan?

"Hello, haaa.. Woi.. apa cerita kau sekarang ha?"
"Wah.. lama giler tak borak dengan kau kan...aku macam ni la.."
"Kerja tempat dulu lagi ke? Eh, apa kata kita jumpa je, lunch ke.. dinner ke.. boleh cerita panjang lagi.."
"Lepak ek.... ala.. aku tengah pokai la sekarang.. dua ringgit je ada, boleh ke isi minyak motor dan beli air?"

Misi bertanya khabar kawan lama tergantung dek kepokaian.

"Korang, jom makan sama-sama ramai-ramai...!"
"Ha ah la, lama tak jumpa kau kan.. jom jom.. meh aku survey tempat makan best.."

"Ha.. jadi.. esok, jumpa kat situ pukul 6.. "
"Wah.. bestnya..!!"
"Tapi, XXX tak pergi tau..."
"Lar, kenapa?"
"Dia kata dia tak ada duit"

Cuba bayangkan, kalau aku sambung perbualan-perbualan tu dengan, "Tak apa, jangan risau, aku belanja", mesti niat murni nak berjumpa kawan-kawan, merapatkan silaturrahim dan bergembira dengan kawan-kawan yang katanya rindu kat aku tu akan tercapai kan?

Jadi, siapa kata duit tak boleh beli kawan?

*************

"Korang, aku ada seringgit dengan sen sen je..."
"Aku.. ada ni ha.. dua ringgit..."
"Hahaha.. haih, korang ni.. " sambil mengorek-ngorek beg galas "alamak, beg duit tak bawa.. tak apa lah, korang guna syiling aku ni dulu.."
"Aku ada je roti kat bilik.. maggi pun ada.. jom la kalau nak makan maggi.. cukup je seminggu sebelum biasiswa masuk"
"Ala.. alang-alang dah kat luar ni.. seorang dua ringgit lebih, cukup 2 orang makan.. aku diet la hari ni haha.. esok lusa ko leh pinjam duit aku.."
"Dah dah, macam ni, kita beli makanan dua bungkus, kita makan bertiga.. lauk, kita tengok apa yang cukup..esok baru kita makan maggi kau tu.."

Itu 7 tahun lepas.Terkenang betapa comelnya tiga orang gadis mengira-ngira duit di bus stop selepas habis kuliah tengah hari.

"Aku ada RM 10 je ni.. kenapa lah gaji tak hari ni! Kenapa mesti esok!"
"Hahaha..satu hari lagi.. sabar sabar..."
"Eh, ko jangan SMS apa-apa yang tak urgent tau, aku nak jimat kredit hari ni.."
"Eh, ko topap la.. hari ni dah la ada program, kang ko nak call macam-macam orang.."
"Tau, sebab tu aku bagitau kau awal-awal, aku tak nak layan kau hari ni kalau ko SMS ngade-ngade..."
"Ek eleh.. aku ada 20.. nah, hamik 10 ringgit ni.. "

Kawan yang sebenar adalah orang yang boleh bersama-sama dengan kita, tak kiralah berapa duit dalam tangan kita.. Seringgit mahupun sepuluh ringgit, kawan buat hari miskin kita seolah-olah tak langsung menyesakkan dada.

Kalau tunggu ada seratus ringgit dalam poket untuk keluar tengok wayang, karaoke atau mengisi minyak petrol lalu bercanda di pasir pantai baru nak update status kat Facebook, "Seronoknya hangout semalam, thanks my friend...!!! Love you.. muaahh!!!", nampaknya aku kena betul-betul fahamkan, apa maksud 'my friend' tu sebenarnya.

********************


"Nanti aku bayar duit minyak kau bawa aku ni dan kredit kau yang kau habiskan dok mesej dan call aku ya...sorry, aku banyak susahkan kau..."
Kau ingat aku tolong kau, berhubung dengan kau, bagi kasih sayang sebagai kawan kepada kau tu, untuk kau nilai dengan duit kau??? Kebulur sangatkah aku, berkhidmat untuk seorang kawan untuk dibayar dengan duit kau? Eh kejap, kita kawan ke?

Dunia, aku geli hati dengan orang yang cakap, "Aku bukan manusia materialistik". Mereka tipu.

Terima kasih ya Allah, sebab kau beri aku rasa susah, rasa sempit dengan tidak kaya-raya sekarang. Kalau aku sememangnya anak orang kaya, dah kaya-raya, mungkin aku tak sedar semua ni. Benar, sempit itu juga nikmat. Sekurang-kurangnya sekarang, aku boleh kenal, mana kawan sejati dan mana kawan yang boleh aku beli.

*** Cerita-cerita yang ditulis adalah gabungan dan olahan beberapa cerita daripada beberapa sumber. Jangan ada nak terasa atau hantar mesej kat aku, "Eh, Ain, aku ke?" hahaha..  Kalau rasa bukan kau, terimalah ini sebagai peringatan, JANGAN DEKATI MANUSIA YANG KAU BOLEH BELI dan JANGAN JADI MANUSIA YANG ORANG BOLEH BELI.





Pedihnya Sentuh Luka Segar

Dia tahu mereka prihatin
Dia tahu mereka sayang
Dia tahu mereka berusaha merawat luka di hati, cerita lama diungkit
Kononnya hikmat tersembunyi di sebalik sakit
Pastinya rahsia Tuhan ada walaupun jalan keluar itu sempit
Tambah mereka, jalan sekarang jauh lebih baik dari kisah lama yang perit

Mereka harap dia tarik nafas dalam
Akui dia hargai pengalaman silam
Dia tenang hadapi masa depan walau masih kelam

Hakikatnya, dia masih dendam
Luka tak sembuh, marah tak padam
Harap manis tapi masih terasa masam
Yang hitam masih hitam

Tapi dia tahu
Mereka tak tahu yang mereka salah menimbang
Salah menafsir
Malah salah menyimpul

Mereka tak faham kisah
Dia penat membuktikan cerita itu diubah
Akhirnya dia diam selepas lelah
Lelah membela diri dan mempersalah
Biarlah mereka fikir dia mengalah
Asalkan jimat tenaga tidak tercakap salah
Demi menjaga persahabatan yang mewah
Mewah kasih sayang dan rasa bertuah

Kalaulah mereka sedar
Pedihnya sentuh luka segar

Wednesday, September 5, 2012

Kawan Kursus Induksi - Bahagian 3 (",)


*Leen dan suami, Fairuz.. eh, Fairuz kan nama laki kau?*

"Haaa, Ain, cepat ambil gambar aku... nanti update blog! Sambung cerita kau tu..."

Itulah ayat ARAHAN Leen masa aku dengan girang keluarkan kamera comel aku (comel sebab bukan kamera gemuk, DSLR). Sempena majlis pertunangan adik dak Leen, dak Nina Sabtu lepas. Nina ni, kalau tutup mata, dengar suara dia, ya ampun....! Sebiji macam Leen!!! Aku sangat terkasima masa pertama kali jumpa Nina, makan cucur udang Taman Sri Pulai sama-sama... (alamak, meleleh air liur taip cucur udang.. dah nak 9 bulan tak makan.. kalau mengandung dah sarat!)

*Aku, Ayuz, Nina, Olie dan Leen. Menyerlah kuning kau tu kan Nina. Aku suka!*

*Pelamin kau pun aku suka!*

Eh, Bahagian 1, Bahagian 2 (sila klik untuk baca @ ulangkaji) dan yang ini, Bahagian 3, mesti aku mulakan dengan cerita tentang Leen kan? Mungkin sebab dia lah pemangkin utama aku untuk menulis. Cewah... Okay, aku tipu, ada lagi pemangkin aku tulis cerita rakan sekerja UTM yang sama-sama kursus induksi dengan aku Disember 2010 dulu. Macam Helmy, yang jumpa-jumpa aku je sejak aku balik dari US ni, terus cakap, "Eh, Ain, bila kau nak sambung cerita kat blog kau tu?" Dan juga macam Olie.. =)

Ya lah, aku bukan penulis terkenal. Satu dua orang tanya bila nak update blog pun aku dah rasa macam diva, terbang tinggi ke awan, terus capai aras ilham tiba.

Disebabkan kami adalah rakan sekursus induksi yang seronok berjumpa dan beraktiviti memeriahkan keadaan, tak lengkap Ramadhan lepas tanpa berbuka puasa bersama-sama. Kalau acara karaoke bersama-sama yang dipilih, haih, mestilah tak manis semanis kuih kole kacang kan. Atas usaha keras dua orang kuat, Helmy dan Olie, kami berjaya ke JB Catering, dekat dengan Stadium Larkin, berbuka puasa bersama-sama. Oh yeah!!!

*Tema BIRU... kelas!*

Apa yang menarik, Husna, isteri kepada Sharul yang pertama kali aku jumpa adalah sangat menggembirakan aku! Terasa seperti Husna tu kawan aku, bukan Sharul. Hahaha... Husna sangat meriah dan ramah! Mereka ni kahwin masa aku dah sampai US, jadi aku pun tak dapat lah tengok mereka bergelar raja sehari. Ale-ale Husna dah berbadan dua dengan comelnya, dan Sharul dah nak jadi ayah!!! OMG OMG! Sharul yang aku tengok dulu macam kanak-kanak riang, okay, sila rujuk penutupr Bahagian 2, betapa sengetnya Sharul. Tapi dia sangat baik. (Okay, ini cubaan jaga imej Sharul di hadapan isterinya.. ahakz)

Masa berbuka puasa tu, aku sangat bahagia. Ya lah, lama tak jumpa. Olie, Saha, Jannah, Sharul, Helmy.. Terasa macam mati hidup semula! (Okay, itu over). Yang peliknya, mereka sama sendiri pun macam dah lama tak jumpa.

"Ya lah, Ain. Tak ada kau, kitorang pun tak jumpa..."

Laaarr... ye ke? Tengok, betapa divanya aku... 6 bulan aku seorang diri menempuh suka duka di negara orang, 6 bulan jugalah mereka ni tak beraktiviti, seolah-olah menghormati kesepian aku. Hahaha..

"Ain, aku nak bagitau something", Olie mulakan perbualan, masa aku kat US. Terima kasih internet.
"Haaa.. apa dia?"
"Haritu, aku cakap kat Sharul, nak jumpa.." Okay, aku tak ingat pasal apa Olie nak jumpa Sharul. Tapi lebih kurang macam nak jumpa ramai-ramai lah, kawan-kawan induksi ni.
"Kau tau Ain apa Sharul cakap mula-mula sekali?"
"Haaa.. apa dia?" 
"Eh, Ain dah balik Malaysia ke?"

Tengok! Apa? Kalau aku dah balik Malaysia baru korang boleh jumpa ke? hahaha.. okay, aku rasa tulisan aku ni lebih kepada sangat memuji diri sendiri. Narciscism ni... (amat mengagumi diri sendiri). Maafkan saya =P

Cerita Syawal ini, fenomena pertama yang terjadi dalam hidup aku sekembalinya aku dari kampung halaman ke Johor, tanah tempat tumpah tenaga untuk balas budi (sempena digaji dan diberi biasiswa. ahakz) ialah ke rumah Olie! Aku tetap suka gambar-gambar kami terutama yang ada dinding sama warna dengan baju Olie ni!

*Ada Ina, yang aku panggil, Si Cantik masa kursus dulu. Aku suka dia sebab masa dia kahwin, dia panggil aku dan aku dapat salam dia yang tengah jadi pengantin! hahaha.. aku memang teruja dengan pengantin! Nak-nak, dia Si Cantik!*

Aku suka borak dengan Olie laju-laju.. sambil membuatkan Wina terlopong, Wina si juru solek yang baik dan bergaya. Juga jumpa Auntie Ram, mak Olie yang tak pernah gagal buat aku seronok bercakap dan mendengar. 
 
*Jannah dan Wina, hari akhir kursus induksi kami*

Tahniah Nina, Tahniah Olie. Semoga tali yang mengikat memudahkan perjalanan yang korang pilih, dan dibahagiakan.. Semoga bahagia sampai ke jinjang pelamin, dan dapat yang terbaik untuk bahtera hidup yang seterusnya. Amin... Makan minum kat majlis rumah korang sangat membahagiakan manusia-suka-makan macam aku ni, yang rindu mee rebus dan teh tarik.. aaauummm...!

  
Tujuan aku letak gambar-gambar kami tengok Transformer 3D ini ialah, "Korang, jom tengok wayang!"
Tak pun, SEKARANG MASIH BULAN SYAWAL. SILA BUAT OPEN HOUSE! AKU TAK NAK BUAT =P

*Antara gambar sewel kumpulan SATU, yang dinobatkan sebagai pemenang. Alamak, aku hutang cerita "macam mana kumpulan SATU boleh menang". Okay, Bahagian 4 lah..*

Monday, September 3, 2012

Sepasang Mata

Sepasang mata, mampu hadirkan percaya
Boleh buat harapan terbina
Apatah lagi senyum sampai telinga
Gembira, malah bahagia sampai seminggu dua

Sepasang mata, mampu buat tenang berkocak
Boleh buat api marah marak
Apatah lagi hati calar lalu rabak
Kesal, malah dendam sampai beranak-pinak

Ya, berpasang-pasang mata
Tak pernah sama sinar yang sampai
Tak pernah jelas rasa yang termeterai
Tak berdosa kalau aku salah nilai
Tak terkilan kalau hati aku sampai berkecai

Tapi sinar dan rasa berbeza, hadir daripada sepasang mata yang sama
Bukan milik manusia dua atau tiga
Kenapa aku masih belum bijaksana?