Aku pernah dengar dengan dua telinga aku sendiri, seorang Muslimah bercakap kepada Muslimah yang lain,
"Untungnya kalau kita berada dalam zaman Rasulullah saw semasa hidup kan.."
Kenapa dia tanya macam tu, dan apa jawapan kepada dia, panjang ceritanya.
Apa yang penting untuk aku sampaikan, Allah Maha Pemurah dan Maha Bijaksana. Apa yang Dia aturkan adalah yang terbaik buat kita. Sekarang kita tetap umat Nabi Muhammad saw, umat akhir zaman walaupun kita bukan berada dalam zaman Baginda semasa masih hidup. Dan sebagai umat Muhammad, kita masih beruntung, sebesar-besar untung!
Lima kelebihan menjadi umat Muhammad, sumber : tazkirah selepas solat sunat tarawih, rabu lepas di Masjid Sultan Ismail, UTM Skudai.
Pertama
Walaupun umat Muhammad adalah umat akhir zaman. Paling akhir dihidupkan dan dimatikan di dunia. Tetapi umat Muhammad lah yang disusun oleh Allah swt sebagai umat pertama yang akan dihisab di akhirat kelak.
Kedua
Umat Muhammad, kalau mengerjakan kebaikan, pahala berganda-ganda. Tapi kalau buat keburukan, dosa tidak pula diganda-gandakan.
Ketiga
Umat Muhammad buat kemungkaran dan maksiat di dunia, tetapi Allah tangguhkan balasan hingga di akhirat. Bukan semuanya dan-dan semasa di dunia juga seperti kaum-kaum sebelum. Nabi Muhammad saw yang berdoa minta ditangguhkan balasan buruk kepada umatnya, kot-kot umatnya nak bertaubat.
Keempat
Hanya Nabi Muhammad, kekasih Allah, yang memiliki kuasa memberi syafaat, hanya kepada umatnya semasa di akhirat kelak.
Kelima
Dan umat Muhammad dihadiahkan dengan peluang merebut malam lailatulqadar.
Betul ke untung sangat menjadi umat Muhammad, umat akhir zaman ni?
Nabi Musa as pernah bertanya kepada Allah (Nabi Musa kan kalamullah, boleh bercakap-cakap dengan Allah)," ada tak kaum yang lebih baik dari kaum aku?"
Allah jawab, "ada, umat akhir zaman"
"Kalau begitu, aku nak jadi nabi kepada kaum itu. "
Allah jawab, "aku dah tentukan nabi untuk kaum itu".
Nabi Musa as cakap, "kalau macam tu, jadi umat nabi tu pun jadilah"
Allah jawab lagi, "aku dah tentukan siapa yang menjadi umat itu"
Nabi Musa mintak nak jadi umat akhir zaman, Allah jawab, Dia dah tentukan. Allah dah tentukan kita sebagai umat akhir zaman, umat Muhammad, dengan pelbagai kelebihan. Perlu lagikah keluar dari mulut kita 'harapan' untuk hidup di zaman selain dari zaman kita sekarang? Perlukah kita berfikir untungnya kalau kita bukan umat akhir zaman?
Maaf, aku memang tulis apa yang aku dengar dan catat je. Bila ada rujukan ayat Quran dan Hadis, aku tak berapa nak tangkap.
No comments:
Post a Comment