Aku tahu kau tengah top sekarang. Semua orang suka kau dan nak miliki
kau. Kau hot, vogue, macam-macam gaya, macam-macam kepentingan.. Orang
yang ambil tahu banyak tentang kau, mengagumi kau dan mendampingi kau
memang ramai. Mereka normal. Orang yang tak kesah tentang kau, tak
bersama-sama dengan kau macam aku ni yang dipandang pelik. Seolah-olah
mendekati kau tu satu kemestian manusia di abad ini. Aku? Minda katak bawah tempurung kononnya.
Walaupun
aku tak terlalu mengagungkan kau, aku akui, hari ini aku nak merayu
pada kau tentang satu hal dengan sangat rendah diri.
Tolong jangan jadi orang ketiga antara aku dengan dia!
Okay,
bukan dia saja. Dia juga. Dia, dia, dan dia. Semua orang-orang yang aku
sayang lah senang cerita. Mereka yang aku nak luangkan masa bersama,
bersuka ria, berkongsi rasa, luahan hati atau cerita. Aku usahakan masa
dan tenaga, tak berkira duit, idea atau kata-kata, untuk mereka,
semata-mata percaya dengan membahagiakan mereka akan buat aku pun
bahagia. Mereka itulah yang kalau di laman Facebook, orang panggil
"FRIENDS", kawan.
Apa? Kau tak buat apa-apa? Kau tak kacau hubungan aku dengan mereka?
Dengar
sini, masa aku dengar cerita mereka, aku hadam dengan teliti, aku
respon berhati-hati. Nak jaga perasaan kawan adalah aku punya pegangan
diri. Tapi bila aku nak bercerita atau bergembira bersama-sama, kau jadi
orang ketiga, kau curi perhatian mereka. Kau ingat kau siapa? Tanpa
jiwa suci dan akal berisi, kau halang komunikasi, kau ganggu simpati,
kau ajak mereka lupa untuk jaga hati. Hati aku lah, jaga hati kau buat
apa!??? Kau ada hati ke?
Aku yang terhegeh-hegeh
nak bercerita, berkongsi atau bertanya? Sumpah, aku bersumpah, mereka
cari aku dulu, bukan aku cari mereka! Okay, ada
je hari aku cari mereka dulu. Ada hari mereka, ada hari kita. Bila
mereka perlukan aku, aku tolak tepi letih kaki, aku lupakan lelah
paru-paru, aku abai berat kelopak mata. Aku jimat-jimat guna tisu sebab
nak cukup duit untuk isi petrol kereta tau! Sebab nak jumpa mereka! Hei,
aku tak mati lah kalau orang tak dengar cerita aku, aku tak merana lah
kalau orang tak tolong selesaikan masalah aku, aku tak terseksa kalau
orang abai perasaan aku. ('orang' = mereka yang berkaitan SAHAJA).
Tapi yang aku tak puas hati, kawan-kawan aku tu beri perhatian lebih
pada kau berbanding aku! Mereka kawan-kawan aku, bukan kawan-kawan kau!!
Ya, kau hebat, kau punca manusia jadi serba tahu, kau
sumber manusia serba terhibur, kau penyebab manusia hebat melapor. Tapi
kau sedar tak, kau juga punca manusia belajar jadi biadap di zaman
peradaban ini! Macam mana?
Contoh, kalau aku tengah cakap dengan
Fahrin Ahmad pasal pelamin idaman dan bila Fahrin respon, aku tiba-tiba
alihkan padangan mata aku kepada Beto Khusairy, dan bercakap-cakap
dengan Beto. Kau nampak tak masalah di situ? Kalau
alih mata je mungkin tak cukup biadap. Ni si Beto duduk kat bilik lain.
Aku pergi berusaha ke bilik lain nak bercakap-cakap dengan Beto, tanya
ada rasa nak bini nombor dua tak? Fahrin terkebil-kebil lah tunggu aku
habis cakap dengan Beto. Tapi tak habis-habis. Bila kembali pada Fahrin,
aku dah buka cerita lain. Abai respon Fahrin pasal pelamin, terus
cerita pasal keropok lekor. Tanpa rasa bersalah, tanpa cakap, "Fahrin,
sorry ye, I nak jumpa Beto kejap"
Manusia normal yang
beradab sampai hati tak, nak biar Fahrin macam tu? Bukan sekali, tapi
berkali-kali? Kalau isu nak tanya Beto memang berkaitan dengan Fahrin
pasal pelamin juga, tak apa, kalau isu tak ada kaitan atau tak segera?
Aku cuma nak cakap, "Eh, Beto, dah setahun tak borak dengan kau.. apa
khabar ye? Ada filem baru?" tak memasal. Tak boleh tunggu Fahrin balik?
Biadap, kurang ajar, tiada sopan, itu kau boleh faham, kan?
Macam tu lah kawan-kawan aku, masa dating dengan aku, tiba-tiba bercakap dengan Beto, mana-mana Beto lah, dengan bantuan kau. Ya, kau!!!!
Kau yang menyebabkan kawan-kawan aku tanpa sedar hilang santun.
Tanpa rasa bersalah hilang adab.
Tanpa mohon maaf, mereka biar aku bercakap dengan bontot diorang.
Semua sebab kau.
Aku merayu.
Tolong jangan jadi orang ketiga lagi, antara aku dengan mereka.
Aku nak marah kau pun, kau bukan makan saman, telinga tak ada, apatah lagi akal dan hati.
Kawan-kawan
aku tu lah yang akan jadi mangsa bahasa kesat aku. Mulalah orang kata kat aku, "Dasar orang Melaka!" Memang, aku memang
sudi berbahasa kasar, buat apa jaga hati orang yang tak jaga perasaan
aku kan.
Paling tak kesat aku boleh bagi,
"Woi, kau nak borak dengan aku ke, nak main FB? Tau lah ada smartphone..."
"Kau nak minum dengan aku ke, nak tunjuk tab kau?"
"Kau nak jumpa aku sebab nak tunjuk sibuknya kau layan panggilan dan mesej dari handphone kau ke?"
"Aku memang jumpa kau untuk tengok kau main game kat handphone kau pun..."
Tolong jangan jarakkan hubungan aku dengan kawan-kawan aku. Tolong jangan pisahkan aku dengan kawan-kawan aku, wahai GADJET.
Apa guna kawan yang sentiasa 'like' tulisan aku, komen di blog aku, BUZZ di YM aku atau apa saja bentuk hubungan atas bantuan KAU, padahal bila tertembung di bumi nyata dia tak tatap mata aku, senyum
dengan penuh mahu apatah lagi tanya khabar dan berbual mesra. Kalau TERtembung maka mereka tak sedia menyapa, bagaimana dengan yang duduk semeja makan mee goreng mamak sama-sama tapi mata masing-masing tertumpu kepada KAU? Baik aku order mee goreng, tapau, makan kat rumah seorang diri!
Jika benar aku adalah kawan mereka seperti mereka adalah kawan-kawan aku, pulangkanlah mereka kepada aku. Atau,
aku akan redha terpelosok di meja kerja, online di hadapan komputer
riba (aku tak ada smartphone atau tab) selalu, biar kawan-kawan aku tahu
aku sihat, berjaya, sakit atau mati aku, hanya daripada status Facebook.
Jika itu yang kau dan mereka mahu.
Yang Benar,
Aku yang cemburu pada GADJET.
No comments:
Post a Comment