Pinggan kaca kau buat hiasan.
Kacanya biasa, bukan istimewa yang didakwa tahan pecah.
Sekali terhentak, retak menanti belah.
"Kan ada gam" kau kata.
Baiklah, pinggan kaca kembali sempurna.
Datang bencana alam, bukan aku suka, bukan kau minta.
Pinggan kaca terhempas.
Bukan retak atau sumbing, tapi pecah.
"Kan boleh gam" kau kata.
Baiklah, pinggan kaca masih nampak sempurna.
Berlari anak kecil, tangan hayun kanan dan kiri.
Pinggan kaca ditepis, pecah lagi.
Anak kecil menangis, tak mampu kau salahkan.
Asalnya di atas meja buat hiasan, pinggan kaca kini kau kumpul dengan penyapu.
Penyapu yang kau guna buat alih sampah dan debu.
"Kan ada gam lagi. Kan boleh gam lagi" kau kata.
Baiklah, gamlah dengan teliti dan halus tangan kau.
Rawatlah dengan lembut dan sabar hati kau.
Tenangkanlah hati aku dengan senyuman ikhlas kau.
Gembirakanlah aku dengan dorongan dan keyakinan kau.
Mari aku beritahu satu permintaan tanpa lagu.
Selepas dua, tiga kali pecah, jangan jentik pinggan kaca itu.
Hatta belai, tak mampu aku restu.
Kerana pecah tujuh boleh jadi retak seribu.
Kau bawa gam lagi, tak guna kalau beku.
No comments:
Post a Comment