Sunday, December 7, 2014

Kerang Bakar Dah Masak


Seronoknya menjemput kawan di lapangan terbang. Jarum jam terasa tak berputar. Mata rasa macam kena gam. Lagu sedih dari radio juga kedengaran seperti lagu hari jadi. Baju kemeja hijau muda lengan panjang itu benar-benar satin atau aku saja yang nampak dia seperti bersinar? Rambutnya pendek diketam, gaya tak susah, kasutnya hitam berkilat. Dia kelihatan santai berbual, berdiri tegak tidak, senget pun bukan. Potongan pipi sempurna untuk lukisan seorang lelaki, muka bersih, tenang hati si pemandang. Ketawa tak melampau, senyum tak berlagak, nampak segak dan ramah. Dia berbual-bual dengan dua lelaki lain yang nampak lebih berusia. Seorang bermisai tebal, seorang lagi berpakaian seragam polis. Hah? Polis?! Kasut berkilat! Rambut diketam!

Kerang bakar mula masak. Tersengih. Kawan belum sampai tak apa, aku boleh pandang lagi. Dia mesti tak perasan, sebab mereka rancak berbual dan aku dalam kereta. Sama macam sederet kereta-kereta lain, beratur tunggu, untuk ambil penumpang. Kepala kutoleh 60 darjah ke kiri, memang terang-terangan. Kerang bakar dah masak! Tiba-tiba, mungkin malaikat lalu, ketiga-tiga mereka tak bergerak bibir, diam. Dia toleh 60 darjah ke kiri. Pandangan mata kami bertembung. Waw!

Kurang daripada suku saat, kepala aku kembali ke skala sifar, telefon bimbit kucapai, periksa mesej yang dah dibaca. Pada masa itu, "Kawan! Cepatlah sampai!"

Kawan sampai, aku pandang muka kawan. Ekor mata kanan aku masih nampak kelibat hijau muda berkilau. Tapi tak kulontar pandangan melepasi cermin kereta, takut, malu, atau hati-hati agar tak lampau batas. Cepat-cepat brek tangan aku turunkan, pedal minyak dihenyak, kelibat hijau muda berkilau kutinggal di lapangan terbang.

Sekarang terdetik dalam hati, "Kenapa aku tak toleh lagi sekali?"
Kerang bakar dah siap cecah sambal kicap.
Kulit kerang tinggal kosong.

No comments: