Aku tau aku patut tidur sekarang. Dah nak dekat pukul 4 pagi. Esok, eh, karang, aku kena ke fakulti, macam semalam.. pagi, sampai petang..
Semalam, aku terasa semangat bekerja yang luar biasa.. Semacam satu ketukan kat kepala yang berbunyi, "Ain, buat kerja...!"
Balik rumah, aku teruskan juga, "Ain, jangan terus melepek, nanti kau tak jadi kerja..!" Tapi bukan kerja untuk projek aku lah.. Kerja rumah.. Ala-ala suri rumah tangga gitu..
"okay, selesai, hadiah untuk diri sendiri, mari menonton drama bersiri Jepun..!"
Baru episod 2, aku 'syahid'..
Ternyata, ketukan semangat mampu kuatkan hati, tapi fizikal masih tetap patuh pada hukum alam.
Berbalik kepada ayat pertama, "aku tau aku patut tidur sekarang". Tapi aku terasa nak menaip, hadiah untuk jari-jari aku yang menaip banyak semalam kat fakulti (baru buat kerja satu hari dah kecoh kan..)
Kawan semasa gembira memang ramai, kawan semasa menangis lagi 'ramai'. Tidak jauh dari betul ayat tu. Aku baca dari status YM seseorang. Macam cerita Jepun yang aku tengok ni ha tadi (Lala, aku baru sampai episod 5). Lelaki yang tak kacak yang suka heroin pada awalnya tu menjauhkan diri bila tau heroin tu sakit. Dalam kata lain, kurang upaya. Mungkinkah ramai yang 'tinggalkan' seseorang kerana seseorang itu 'sakit' dan 'kurang upaya'?
Tiba-tiba teringat satu kisah. Kisah yang membuat aku rasa nak berpesan kepada satu dunia. Kalaulah hendak 'tinggalkan' seseorang, tinggalkanlah dengan kejujuran. Walaupun kadang-kadang berkata benar itu sakit, tapi sebenarnya lebih sakit kalau 'ditinggalkan' dengan nama yang palsu, dan plastik.
Tapi, sepatutnya aku tak fikir apa yang patut aku pesan pada orang, apa yang patut orang lain buat, apa yang patut orang lain fikir. Sebab aku tak mampu buat apa selain berpesan, dan aku akan kecewa kalau orang tak ikut pesan. Sepatutnya, aku fikir apa yang aku patut fikir, apa yang aku patut buat, dan apa yang aku patut pesan kepada diri sendiri. Sebab aku mampu fikir dan buat. Itu dalam kawalan aku. Kalaulah setiap saat selama hidup aku ingat hal ni, tentu hidup ini takkan ada sejarah yang bertajuk, "Dia Pesalah" atau "Mereka Bersalah". Mengisytitharkan 'salah' orang lain di dalam minda dan hati sendiri adalah satu racun, bukan ubat. Kalau tak racun serta merta macam gas pemedih mata, mungkin jadi racun pembunuh perlahan yang rasa macam best, macam rokok.
Lebih tenang kalau berfikir, apa yang kita dapat adalah apa yang kita beri. Bak kata orang kesayangan aku, dalam loghat Melaka, "what you give, you get back". Mungkin bukan dapat dari orang yang pernah kita sakiti, mungkin dari makhluk Allah yang lain. Tapi semua itu tetap aturan Allah, sebab tak ada satu pun yang terlepas dari 'kendalian' Allah. Termasuk rasa sakit, rasa sedih, rasa kesal, rasa sendiri...
Satu helai kertas putih kalau ada sedikit kotor, biasanya orang akan sebut apa yang dilihat "eh, ada kotor". Jarang sangat orang sebut, "kertas tu banyak putihnya.. banyak lagi la bersihnya..". Orang memang nampak yang cacat dulu, yang buruk dulu. Orang peka dengan yang sakit dulu, yang sedih dulu. Orang ingat dengan yang hilang dulu, yang ditinggalkan dulu. Orang selalu lupa yang sempurna pada diri, yang cantik pada diri. Orang selalu tak perasan bila sihat, atau gembira. Orang selalu tak sedar bila dapat sesuatu, atau didatangi seseorang yang disenangi. Orang itu, mungkin aku.
Berfikir, bahawa aku dapat banyak yang aku nak, terdetik rasa, aku cukup tamak untuk nak macam-macam lagi. Cuba kuatkan hati untuk tabah dan redha, tapi cukup takut membayangkan aku hilang apa yang aku ada. Cuba belajar menjadikan diri sedia untuk kehilangan, tapi masih ragu-ragu sama ada sedia atau tak. Cuba belajar mempercayai, aku tidak ditinggalkan, tapi masih ada rasa dibiar. Sampai sudah masa, aku boleh percaya, bahawa tidak mustahil tiada orang lain yang boleh aku harapkan lagi. Selain jujur itu tak boleh aku pastikan, ada juga yang tidak boleh diharapkan kerana terasa aku sudah terlalu tamak. Tamakkan kasih sayang dan perhatian. Yang sebenarnya aku boleh harapkan tanpa sebarang ragu atau kasihan daripada Ar Rahman dan Ar Rahim.
Bak kata seorang kawan, pendengar setia, biar orang tak jaga hati kita, asalkan kita tahu kita berusaha jaga hati orang. Mungkin itu balasan atau peringatan untuk kita yang pernah/selalu sakitkan orang. Dengan beringat macam tu, aku rasa lebih tenang. Macam kartun dalam kungfu panda, sifu dia kata, "inner peace... inner peace.." hehehehe..
Dah dah.. jom tidur..
No comments:
Post a Comment