Wednesday, April 21, 2010

Berkongsi Impian

Bismillahirrahmanirrahim..

Dua hari berturut-turut aku memberitahu dua orang berlainan tentang salah satu impian aku.
Sehingga sekarang, memang dua orang itu saja lah yang tahu.
Yang pasti, mereka bukan mama, papa atau adik-adik aku.

Ya, memang aku senang bercerita itu dan ini, tetapi kalau satu-satu impian yang boleh tahan besar, malah kadang-kala boleh dikatakan menyimpang daripada aku yang dipandang pada mata kasar, berkongsikannya kepada orang lain bukanlah perkara mudah dan selesa.

Namun apa yang sudi aku kongsi pada tengah hari Rabu ini, sesungguhnya berkongsi impian itu sangat manis, indah dan menggembirakan. Serius...! Rasa seronok itu ada disebabkan respon yang sangat menyenangkan malah menyokong daripada si pendengar. Membuatkan aku rasa tambah kuat dan paling penting, aku rasa sangat bersyukur kerana impian aku itu kelihatan tidak mustahil.

Berkongsi impian memang membahagiakan.

=)

Dari satu sudut yang bukan tempat untuk aku, "Hello... berkongsi impian dan harapan, bukannya mengumpat, mengadu nasib atau melepaskan rasa marah dan sedih, memang lah rasa seronok. Apa daaa...??

Hmm.. salah sama sekali. Aku memandang hal berkongsi impian ini sangat besar risiko sebab aku pernah cuba berkongsi impian dengan seseorang, tetapi sejurus selepas aku menceritakan harapan dan cita-cita, segala semangat, motivasi malah kepercayaan diri aku hilang selepas mendengar kata-kata yang dilabel sebagai nasihat oleh si pendengar. Hilang. Aku tak salah kan nasihat atau dia (atau mereka). Itu pandangan masing-masing. Tapi serius, dalam kes dua impian yang aku kongsi dengan dua orang berbeza satu masa dulu, harapan tinggi menggunung jatuh terus jadi gaung. Harapan itu terpadam begitu saja tanpa sebarang usaha selanjutnya, apatah lagi dengan sebarang kegagalan minor. Hanya kerana kata-kata si pendengar, aku lupa tentang impian. Impian aku, bukan impian orang lain! Aku lupa mencari kekuatan. Malah paling menyedihkan, aku takut untuk mengenangkan yang aku punya impian. Takut dan malu pada diri sendiri.

Atas sebab itu, aku takut berkongsi impian dengan orang lain. Pada fahaman aku, berkongsi impian adalah perkara yang tak patut!

Biarlah dah dapat, baru orang tahu.

Itu pegangan aku pada kebanyakan masa.

Maka sebab itulah, apabila aku berjaya membuka mulut menceritakan tentang impian yang satu ini, kemudian disahut dengan ayat-ayat positif yang mengharukan, aku merasakan dunia ini sangat indah. Biarpun usaha belum terlaksana. 'Hadiah' itu sangat istimewa.

Tak salah berkongsi impian. Tapi aku percaya, bukan senang nak cari insan yang tepat untuk kita menceritakan tentang impian.

Mudah-mudahan aku tidak menjadi si pendengar yang mengubah gunung harapan orang lain kepada gaung rendah diri dengan kebodohan diri dalam menyusun kata.
Mudah-mudahan orang yang hadir dengan niat berkongsi impian dengan aku akan pulang dengan kekuatan yang bertambah, senyuman yang lebih ikhlas.

Paling penting, mudah-mudahan Allah tambah nikmat bahagia kepada si pendengar cerita-cerita aku, kerana sesungguhnya, perkongsian itu juga nikmat untuk aku daripada Dia.

Amin...

No comments: