Monday, April 26, 2010

Hey ladies...!

Tempat kejadian : Tempat meletak kenderaan di Jusco Taman Universiti

Masa kejadian : Tengahari Jumaat, masa rehat yang panjang atau juga dikenali sebagai girls/women' day out.. (hour je sebenarnya pun)

Tema kejadian : Berhati-hatilah!

*************************************

Si Pencerita memandu kereta comel seorang diri pada tengah hari itu untuk membeli beberapa barang keperluan yang bertemakan makanan. Selesai membeli belah dan berurusan di tong kuning luar pintu masuk Jusco yang berkaitan dengan tiket parking, Si Pencerita menuju ke keretanya. Kereta kuning itu (dah dua benda kuning aku bayangkan semasa Si Pencerita bercerita) terletak tidak jauh daripada pintu keluar dan mesin tiket parking, serta bersebelahan dengan sebuah MPV. MPV itu dinaiki oleh satu keluarga berbangsa Cina. Tempat duduk co-pilot MPV keluarga itu adalah bersebelahan dengan tempat duduk pemandu kereta kuning Si Pencerita.

MPV itu sudah pun hidup enjinnya, bersedia untuk beredar. Seorang lelaki berjalan kaki yang kelihatan sangat biasa datang menghampiri dan seterusnya berdiri di tepi tingkap co-pilot MPV. Dengan kedua-dua tangan yang dibentukkan seperti penumbuk, lelaki yang kelihatan seperti berbangsa Melayu itu mengetuk/menumbuk/menghentak (apa-apa lagi lah) cermin tingkap co-pilot MPV tersebut. Pecah. Lelaki yang berperwatakan yakin itu yang sekarang dikenali sebagai Si Bongek memasukkan kedua-dua belah tangannya untuk mencekup beg tangan co-pilot, seorang wanita, dari ribanya. Si Bongek yang bongek!

Pantas.

Wanita co-pilot berbangsa Cina yang sekarang dikenali sebagai Si Mangsa menjerit sekuat hati. Orang ramai di tong kuning memerhatikan kejadian super kejam bongek bangang tersebut. Para pengawal keselamatan Jusco datang berlari dengan pantas. Tetapi pantas mereka tak cukup tangkas jika nak dibandingkan dengan Si Bongek tanpa helmet itu (tiada ciri-ciri nak sorok muka) yang dibantu seorang rakan dengan motosikal. Pengawal keselamatan bermotosikal tidak kelihatan, mungkin ke masjid solat Jumaat (memandai je kan). Si Bongek cabut.

Si Mangsa dalam kereta, mungkin sangat sedih, terperanjat, bengang, panik.. aarrghh.. tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kenderaan dipandu sudah tidak tentu arah. Nak keluar dari kotak parking pun dah jadi susah sehingga terlanggar sana sini. Kasihan Si Mangsa dan keluarga, yang termasuk anak-anak kecil di tempat duduk belakang. Si Bongek memang bongek!

Si Pencerita?

Si Pencerita masih berada di tepi keretanya semasa kejadian memecah cermin tingkap dan mencekup beg tangan itu. Dengan takut dan paniknya, Si Pencerita cepat kilat masuk ke dalam keretanya, dan kunci kereta. Memerhatikan kejadian tersebut dari dekat dengan rasa seram. Sangat dekat, sangat seram.

"If not that lady, it was me!", ulang Si Pencerita beberapa kali.

"Tak pernah ada kejadian macam ni berlaku sedekat itu!"

Punyalah panik Si Pencerita, duduk dalam keretanya itu (yang aku dengar sebagai tindakan yang pantas dan bijak), Si Pencerita mendapati tiada stereng di hadapannya.

"Saya duduk kat seat belakang rupanya...!"

Ya lah, tempat pemandu mestilah telah terhalang oleh Si Bongek semasa operasi bongek itu kan. Pintu yang berkunci cumalah pintu tersebut, bukan keseluruhan kereta kuning Si Pencerita. huhuhu...

Dengan azam yang kuat, Si Pencerita melontarkan monolog dalamannya yang terbuku,

"Saya mesti ceritakan pada Ain, Mai.. saya mesti ingatkan ladies semua ni.. "

Hey ladies....!

*************************************

Huh, aku dengar pun panik. Walaupun ada yang aku ketawa terbahak tanpa contrul cun bila Si Pencerita menyebut tentang duduk di tempat duduk belakang. Aku selama ini selalu fikir bahawa di tempat parking itu memang bahaya, tapi aku fikir hanyalah di antara pintu keluar shopping mall dan pintu kereta sahaja. Masuk dalam kereta, kunci, selamat. Rupa-rupanya, 'dunia' tak seindah yang dibayangkan.

Nak pesan jangan shopping malam, kejadian berlaku siang.
Nak kata keluar jangan seorang, kejadian berlaku kepada orang yang dalam kereta bersama keluarga.
Nak ingatkan jangan terhegeh-hegeh kat tempat parking, kejadian berlaku dalam kereta.
Nak beri amaran jangan parking di tempat sunyi, kejadian berlaku dekat dengan pintu masuk shopping mall.

Maka, satu pesanan yang aku sendiri tak teringat sebelum ini ialah, segeralah sorokkan beg tangan, jangan di riba. Aku selalu je memandu, beg tangan letak kat tempat duduk co-pilot atau tempat duduk belakang. Don't try this at home! (home di sini ialah car) Sila letak beg tangan di bawah tempat duduk!

Pesanan lain yang maha penting, minta perlindungan daripada Allah. Allah sajalah yang maha berkuasa terhadap setiap satu kejadian dan Allah sajalah tempat sebaik-baiknya untuk diletakkan pengharapan.





2 comments:

siti khadijah ali said...

betul ayen...mulakan langkah keluar dari rumah ke opis ke dgn ayat kursi..insyaAllah selamat <- abah ngn mak aku berulang2x kali igt kan...

ayen =D said...

baik.. tima kasih siti.. tima kasih mak dan abah siti..